Tarikh penting PRU-15 Bahagian Parlimen Padang Serai diumum esok – SPR

0
2
pru mpost banner

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas esok bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mesyuarat itu susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M Karupaiya bagi kerusi Parlimen Padang Serai yang dilaporkan meninggal dunia semalam.

Menurutnya, SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon terbabit.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 18 November 2022 (Jumaat) bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan PRU-15 Bahagian Parlimen Padang Serai.

“Satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, SPR juga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap semoga mereka tabah menghadapi kehilangan orang tersayang.

Media semalam melaporkan calon PH Parlimen Padang Sera meninggal dunia di Hospital Kulim dipercayai akibat mengalami serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Karupaiya, 69, adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang memenanginya pertama kali pada PRU-14.

Pada PRU-15, mendiang yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1, berhadapan pertembungan enam penjuru.

Pertembungan kerusi Parlimen Padang Serai membabitkan Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here