Tuduhan palsu : Guan Eng akan mula prosiding fitnah terhadap Azmin, Muhyiddin

0
2

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng akan memulakan prosiding fitnah terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana membuat kenyataan palsu terhadapnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat fitnah dengan menyatakan beliau menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengejar semua syarikat yang berkaitan dengan MCA.

Katanya, Mohamed Azmin juga memberitahu beliau bertanggungjawab untuk cukai baharu ke atas perniagaan, selain menyasarkan perniagaan Cina tertentu.

“Azmin telah memilih saya untuk dijadikan sasaran dengan membuat serangan peribadi walaupun saya tidak membuat provokasi terhadapnya namun beliau tetap dengan mencipta pembohongan dan diterbitkan oleh MCA dan akhbar pro kerajaan.

“Saya tidak pernah menggunakan LHDN untuk menyasarkan mana-mana ahli perniagaan Cina. Walaupun saya telah berulang kali meminta Azmin menunjukkan bukti, namun dia gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, Mohamed Azmin cuba menfitnahnya sekali lagi dengan menyatakan beliau mensabotaj agensi milik bumiputera seperti Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS).

Bagaimanapun, katanya sehingga kini calon PN bagi Parlimen Gombak itu gagal menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan liar tersebut.

“Memandangkan beliau terus mengulangi fakta palsu ini tanpa menunjukkan sebarang bukti, saya tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan peguam saya mengambil tindakan segera,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Guan Eng juga mempertimbangkan memfailkan prosiding fitnah terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan palsu yang serupa berkaitan dirinya baru-baru ini.

“Keputusan muktamad akan dibuat selepas perbincangan dengan peguam saya selepas hari pengundian pada hari Sabtu,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa Guan Eng menulis surat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu meminta ‘revolving fund’ (dana pusingan) EKUINAS berjumlah RM2.4 bilion dikembalikan kepada Kementerian Kewangan dan syarikat itu ditutup.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata cubaan Guan Eng gagal kerana dibantah Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada masa itu.

Katanya, kerana tidak berpuas hati kerana cubaan menutup EKUINAS gagal, Guan Eng hanya menyediakan peruntukan token sebanyak RM100 kepada kepada syarikat itu dalam Bajet 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here