CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan jaguh perseorangan badminton negara Lee Zii Jia saling memberi kata semangat menerusi panggilan video, petang semalam.
Malah, Reezal Merican dan Zii Jia mengambil masa kira-kira 10 minit berbual dengan masing-masing memberi kata perangsang serta mengucapkan selmaat maju jaya antara satu sama lain.
Menerusi panggilan itu, Reezal Merican memaklumkan kepada Zii Jia bahawa rakyat di Kepala Batas sentiasa berada bersama perseorangan badminton negara itu.
“Kami semua peminat di Kepala Batas berada di belakang Zii Jia yang selalu mendoakan kejayaan awak.

“Kami harap awak (Zii Jia) dapat melayakkan diri ke semi final (separuh akhir) macam awak kata mahu lawan ‘kaw kaw’ (betul-betul) punya. Saya doakan kejayaan awak,” katanya ketika membuat panggilan video berkenaan.
Sementara itu, Zii Jia pula menzahirkan perasaan terharunya terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang tidak pernah melupakan dirinya walaupun sudah tidak berada dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Walaupun di BAM atau sudah keluar dari BAM, Datuk Seri (Reezal Merican) tetap tolong saya. Kini bukan lagi seorang minister (menteri) sukan tetapi kita tetap ‘keep in touch’ (terus berhubung) yang saya hargai sangat,” katanya.
Zii Jia yang turut memberi kata semangat terhadap Reezal Merican yang bertanding bagi mempertahankan kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15( PRU15).
Zii Jia akan menentang Lu Guang Zu dari China esok dalam perlawanan sempena Australia Badminton Open 2022 di Sydney, Australia.
Pemain nombor dua dunia itu dalam misi mengumpul mata untuk menempah slot Jelajah Dunia Akhir di Arena Nimibutr, Bangkok pada 7 hingga 11 Disember ini.
Manakala Reezal Merican akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas 19 November ini.
Reezal Merican berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Siti Mastura Muhammad, Muhammad Danial Abdul Majeed (Muda) dan Hamidi Abu Hassan (Pejaung). – Malaysiapost

