Timbalan Menteri Pertahanan hantar surat tuntutan kepada Rafizi

0
1

TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menghantar surat tuntutan mengikut undang-undang atau ‘Letter of Demand’ terhadap Rafizi Ramli susulan dakwaan kenyataan fitnah Timbalan Presiden PKR itu terhadap beliau dan keluarganya.

Ikmal Hisham berkata, tindakan itu dilakukan kerana Rafizi ‘bermain kasar’ mengheret keluarganya dalam kenyataan fitnah beliau yang terbaharu.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tanah Merah itu berkata, notis berkenaan menuntut Rafizi melaksanakan tiga perkara, sekiranya gagal beliau akan mengambil tindakan sivil terhadap Timbalan Presiden PKR itu.

“(Ia termasuk) memadamkan pernyataan fitnah, berhenti daripada menyebarkan dan mengulangi pernyataan fitnah terhadap saya dan isteri

“Serta membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar kos gantirugi am dan teladan sebanyak RM500,000 serta membersihkan kembali nama saya dan isteri yang telah tercalar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya semua tuntutan itu gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari beliau akan mengambil tindakan sivil di mahkamah.

“Tindakan yang saya ambil ini adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab saya menjaga keselamatan keluarga.

“Berpegang kepada prinsip ‘Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah’ saya bersedia untuk ke mahkamah untuk membersihkan nama saya dari fitnah yang tidak bertanggungjawab dibuat Rafizi,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham mengingatkan Rafizi supaya tidak sesekali melibatkan anak serta isteri sesiapapun dalam berpolitik semata-mata ingin meraih undi.

“Jika keuntungan politik yang beliau cuba raih dari fitnah ini, percayalah rakyat bijak menilai berdasarkan kenyataan dan tindakan berani saya ini,” katanya.

Ikmal Hisham berkata, beliau telah berkali-kali menegaskan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja yang ketat.

Katanya, ia mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Tiada sesiapapun yang boleh mempengaruhi kebijaksanaan ‘end-user’ dalam mendapatkan aset yang terbaik untuk pertahanan negara,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mendesak kerajaan membatalkan Surat Niat penganugerahan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) kepada MA Analytics Sdn Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan anak serta isteri Ikmal Hisham.

Rafizi berkata, semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan pihaknya mendapati MA Analytics Sdn Bhd didalangi pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Ikmal Hisham. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here