Muhyiddin nafi surat tular, kerjasama PN dan PKR angkat Anwar PM-10

0
2

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan surat tular mendakwa gabungan itu bersetuju mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Muhyiddin turut menyifatkan surat tular itu sebagai palsu.

“Surat yang tular ini adalah palsu. Tiada apa-apa persetujuan di antara Perikatan Nasional dan mana-mana parti lain,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyertakan muat naik surat tular berkenaan bertarikh 23 Februari 2022 dengan menggunakan kepala surat logo PN.

Surat itu menyebut bahawa PN akan merealisasikan kerjasama dengan PKR untuk mengangkat Anwar sebagai PM Ke-10 demi menyelamatkan negara daripada dirosakkan Umno dan Barisan Nasional.

Terdahulu, Malaysiapost melaporkan, beberapa hari sebelum menjelang hari pengundian tular di media sosial rancangan kerjasama antara PN dengan Pakatan Harapan (PH).

Melalui dokumen yang tular itu ia membabitkan kerjasama yang dikenali sebagai “Gabungan Khemah Besar Perikatan Harapan”.

Berdasarkan dokumen yang tular itu, gabungan terbabit bertujuan untuk menyekat BN daripada membentuk kerajaan bersama GPS dan GRS.

Gabungan khemah besar itu menyedari akan kekuatan BN dengan sokongan padu pengundi setianya bagi kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun berdasarkan dokumen itu, usaha berkenaan masih mendapat halangan memandangkan PAS merupakan komponen PN menolak kerjasama dengan PH.

Manakala DAP pula menolak kerjasama dengan PN yang diketuai kumpulan pengkhianat.

Dokumen itu menyatakan bahawa isu berkenaan sedang diuruskan oleh Muhyiddin dan Anwar. – Malaysiapost

Surat tular mendakwa gabungan itu bersetuju mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here