PRU15: Tiada gabungan peroleh majoriti, PH dapat undi terbanyak – YouGov

0
2

TIADA mana-mana gabungan parti politik berjaya memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

Bagaimanapun, menurut tinjauan YouGov yang dilakukan sejak 8 hingga 14 November lepas, Pakatan Harapan (PH) dijangka memperoleh undi terbanyak iaitu 35 peratus.

Ia diikuti Perikatan Nasional (PN) 20 peratus, manakala Barisan Nasional (BN) pula 17 peratus.

Menurut YouGov, tinjauan atas talian itu melibatkan 2,687 orang, yang dipilih berdasarkan ‘teknik persampelan aktif’ oleh ‘panel atas talian’ mereka.

“Walaupun PH berkemungkinan menunjukkan prestasi yang baik di kawasan bandar, bilangan pengundi jauh lebih rendah diperlukan untuk memenangi kerusi di kawasan luar bandar berbanding BN dan PN,” katanya dalam kenyataan.

Tinjauan itu juga mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai tanggapan terbaik mengikut pandangan pengundi terhadap tokoh politik.

Bagi kategori itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memperoleh 33 peratus, Datuk Seri Anwar Ibrahim (29 peratus), diikuti Datuk Seri Ismail Sabri (22 peratus).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula memperoleh 16 peratus manakala Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad pula 14 peratus.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati kos sara hidup dianggap paling penting dengan 51 peratus, diikut oleh integriti kerajaan (38 peratus). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here