PH komited perjuangkan kenaikan gaji progresif rakyat – Rafizi

0
2

PKR dan Pakatan Harapan (PH) adalah satu-satunya gabungan politik yang mempunyai dasar gaji progresif, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, PH komited memperjuangkan kenaikan gaji purata pekerja sebagai agenda ekonomi nasional.

Jelasnya, pendapatan rakyat boleh dinaikkan jika kerajaan berjaya menstruktur ekonomi dengan baik sekali gus kekayaan ekonomi tidak tertumpu hanya kepada 500 syarikat swasta yang besar.

“Masalah utama untuk rakyat biasa ialah gaji dan pendapatan yang rendah. Akibatnya setiap kali harga barang naik mendadak, kita makin dihimpit.

“Kerana kemajuan ekonomi negara terbantut dan keuntungan syarika-syarikat tidak sama rata. Hanya ada kurang dari 500 perusahaan swasta yang menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Jadi bila kerajaan umum pertumbuhan ekonomi yang baik, hanya pekerja-pekerja yang syarikat 500 ini yang dapat naik gaji, bonus dan lain-lain,” katanya dalam klip video di Facebook miliknya.

Rafizi yang bertanding di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, kerajaan yang diberi mandat nanti tidak boleh lagi menyerahkan tanggungjawab menaikkan gaji progresif ini kepada pihak majikan semata-mata.

“Berpuluh-puluh ribu syarikat yang lain yang menjadi majikan kepada 90 peratus pekerja di Malaysia tidak mendapat laba ekonomi yang memadai.

“Pendapatan mereka hanya cukup untuk menampung kos dan peluang ekonomi dibolot syarikat-syarikat besar yang banyak tertumpu kepada kegiatan dalam negara bukannya mencari pasaran baru di luar negara. Mereka tidak mampu membayar gaji yang lebih baik,” katanya.

Justeru, Rafizi menyeru kepada rakyat Malaysia merebut peluang pada PRU15 ini memilih gabungan politik yang memperjuangkan kenaikan gaji progresif rakyat.

“Jika gabungan lain berkuasa dan gaji kekal rendah anda telah mensia-siakan peluang ini untuk menaikkan gaji rakyat Malaysia, hanya PH yang memperjuangkannya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here