Tiga ditahan edar risalah parti politik dalam kem TLDM Lumut

0
1

POLIS menahan tiga lelaki kerana mengedar risalah parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di dalam kawasan Pangkalan Tentera Laut Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, Isnin lalu.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komisioner Datuk Seri Hazani Razali, berkata mereka ditahan ketika rondaan yang dilakukan oleh tentera laut ke atas atas kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan pada jam 8.30 malam.

“Ketiga-tiga suspek melanggar peraturan yang ditetapkan dalam pangkalan TLDM Lumut apabila mengedarkan risalah politik ke dalam peti surat rumah keluarga TLDM di empat blok perumahan keluarga kakitangan tentera laut di dalam kawasan larangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, pemeriksaan mendapati suspek diberikan kelulusan masuk ke pangkalan itu atas urusan melawat saudara namun mereka terlibat dalam pengedaran risalah politik tanpa kelulusan TLDM.

Katanya, sebanyak lima kertas siasatan dibuka bagi kes tangkapan itu.

Beliau berkata, polis telah membuka sebanyak 30 kertas siasatan semalam semalam dan daripada jumlah itu sebanyak lima kertas siasatan dibuka di Perak diikuti Negeri Sembilan (4), Kelantan (4), Kedah (3), Selangor (3), Pahang (3), Sarawak (3), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing satu kes di Sabah, Terengganu dan Melaka.

Sementara itu, Hazani berkata, sebanyak 1,522 permit ceramah kempen telah diluluskan pihaknya semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 265 permit ceramah masing-masing diluluskan di Sabah dan Sarawak diikuti Kedah (158), Kelantan (122), Johor (120), Pahang (119), Terengganu 90 dan Perlis (20) permit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here