PRU15: Choon Ser sedia berkhidmat di Teruntum

0
4

CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, Tee Choon Ser, tidak menjadikan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, melemahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada masyarakat di Teruntum.

Sehubungan itu, beliau menawarkan diri bertanding sekali lagi pada PRU kali ini dan merayu supaya diberikan peluang kedua untuk lebih mengenali masyarakat di situ.

“Tugas saya agak berat selepas kalah dengan majoriti lebih 7,000 ribu kerana penyandang kerusi ini, Sim Choon Siang sudah dua penggal berkhidmat di DUN Teruntum.

“Saya benar-benar mahu menang kali ini selepas kalah pada PRU lalu. Ia tidak sesekali mematahkan semangat kerana semua faham berlaku gelombang penolakan BN di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, pada PRU kali ini, suasana berbeza dapat dirasai apabila ia membuka ruang sama rata kepada semua calon dan parti.

“Tugas kita lebih banyak mendekati pengundi untuk mendengar apa yang mereka mahu daripada kerajaan,” katanya.

Ditanya mengapa masih berminat untuk menjadi calon, Choon Ser berkata, dia sendiri menawarkan diri ketika mesyuarat MCA Bahagian Kuantan selepas PRU14 .

“Dalam mesyuarat itu, pimpinan bertanyakan semua ahli jawatankuasa parti mengenai siapa yang ingin menjadi calon di Teruntum.

“Ketika itu tidak ada yang bangun menawarkan diri, jadi saya mengambil keputusan untuk berdiri dan mencadangkan supaya semua orang (dalam mesyuarat itu) memberi saya satu lagi peluang.

“Saya bukan jadi calon sebab nak pangkat, jawatan atau kuasa, tapi sebab saya sayangkan komuniti di Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, dia dinasihatkan supaya mencari kerja lebih bagus, namun belum bersedia meninggalkan Kuantan kerana sangat sukakan kawasan ini.

Choon Ser juga memaklumkan sudah melakukan kerja di kawasan itu sejak 2018 dan tidak meninggalkan kawasan Teruntum selepas kerajaan BN kalah di peringkat Pusat.

“Budaya kempen kali ini banyak berubah, sukar untuk membaca tahap kepekaan dan kesedaran politik terutamanya daripada mereka berusia 18 tahun dan baru boleh mengundi, selain golongan mengundi kali pertama.

“Bagi remaja berusia 18 tahun, mereka lebih berminat kepada media sosial, teknologi terkini, internet dan kita tidak boleh menggunakan pendekatan konservatif jika mahu berkempen dengan mereka,” katanya.

Beliau turut berharap semua pengundi di Teruntum dan Parlimen Kuantan dapat menilai semula apa yang sudah disediakan kerajaan BN sebelum ini, dan bandingkan dengan kerajaan 22 bulan dipimpin PH.

“Kita boleh menilai dan membuat perbandingan sebelum memutuskan untuk memilih (mengundi) siapa sebagai wakil kita di peringkat DUN atau Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Choon Siang yang juga penyandang kerusi DUN Teruntum memberi bayangan PRU15 adalah penggal terakhir baginya bertanding.

Beliau ingin memberi laluan kepada pemimpin muda mengambil alih kerusi itu dalam pilihan raya akan datang.

“Saya mahu pertahankan kerusi ini, tapi ini macam penggal terakhirlah, lepas ini kalau menang atau kalah, saya nak berehat, bagi laluan kepada orang muda pula,” katanya.

Pada PRU15, kerusi DUN Teruntum menyaksikan pertandingan empat penjuru termasuk Choon Ser (BN) dan Choon Siang (PH), manakala calon lain ialah Yap Kim Heng (PN) dan Khairul Afifie Abdullah (Pejuang). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here