PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pengundi mengutamakan masa depan negara melebihi kesetiaan kepada parti.
Menurutnya, sekiranya pertimbangan hanya bersandarkan kepada kesetiaan kepada parti walaupun sudah terang parti itu bergelumang dengan salah laku, ia hanya akan mengheret negara ke lembah kehancuran.
“Kalau mereka sayang kepada negara, mereka tentu ingin melihat negara ini ditadbir dengan baik.
“Tapi kalau mereka setia kepada parti yang dipimpin oleh penjenayah pun mereka sokong, masa depan negara akan jadi kucar-kacir,” katanya dalam program Agenda AWANI malam tadi.
Dr Mahathir menegaskan tiada parti yang bebas daripada amalan kotor selain Pejuang, justeru parti itu harus menjadi pilihan pengundi pada Sabtu ini.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan keadaannya berbeza berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, yang mana sentimennya lebih jelas dan kuat.
“Ada rakyat Malaysia di luar negara sanggup pulang untuk mengundi dan ia berbeza kali ini mungkin kerana rakyat sudah letih dengan apa yang berlaku sejak itu.
“Tambahan pula, kali ini menyaksikan penambahan kelompok besar pengundi muda yang sebahagiannya dianggap tidak begitu cakna dengan politik,” katanya.
Calon kerusi Parlimen Langkawi itu bagaimanapun yakin pengundi yang berpengalaman akan membuat pilihan bijak dan waras. – Malaysiapost

