Saya tak pernah sokong mana-mana calon PM – Tun M

0
3

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak pernah memberi sokongan kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan sekarang.

Ahli Parlimen Langkawi itu yang juga pengasas Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), menolak kenyataan bahawa beliau mempunyai kaitan dengan pihak yang sedang berusaha untuk meraih jawatan.

“Saya dengar kononnya saya menyokong seseorang daripada calon yang ingin jadi Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah beri sokongan kepada sesiapa pun sebagai calon untuk jadi Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, sebentar tadi.

Terdahulu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sudah menyerahkan dokumen mengandungi lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, pagi tadi.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau kini bergerak dalam parti Pejuang yang mengamalkan konsep bebas dan tiada kaitan dengan pihak lain.

“Saya sendiri berada dalam parti baharu saya iaitu Pejuang dan parti ini bebas, tidak ada kaitan dengan mana-mana parti ataupun individu yang mempunyai cita-cita untuk mendapat sesuatu jawatan.

“Saya harap tidak ada lagi percubaan menyatakan kononnya saya sudah sokong, tak ada sokongan,” ujarnya – Malaysiapost