
Nurul Huda Abhar
JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) meminta individu atau ahli keluarga dari Lembah Klang yang pulang ke negeri itu supaya menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Langkah itu diambil kerana sedar akan kemungkinan ramai individu meninggalkan ibu negara dan sebahagian besar mungkin menuju ke Kelantan.
“Sehubungan dengan itu, JKNK meminta orang ramai yang akan menerima kepulangan ahli keluarga dari Lembah Klang agar menasihat ahli keluarga yang baharu pulang supaya menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari sebelum bergaul rapat dengan ahli keluarga yang lain.
“Sekiranya dapat disediakan homestay dan sebagainya, ia adalah amat baik. Jika mereka terpaksa tinggal serumah, asingkan mereka ke dalam bilik berasingan yang mempunyai kemudahan bilik air. Makanan dan minuman hendaklah dihantar ke bilik tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dr Zaini berkata, sekiranya mengalami gejala, mereka perlu dapatkan rawatan ke klinik kesihatan berhapiran untuk proses saringan.
Selain itu, katanya, pihak JKNK akan menyaring semua perantau bergejala yang datang dari kawasan berisiko dalam masa 14 hari.
“Sekiranya anda mempunyai gejala setelah kontak dengan mereka, anda perlu pergi ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.
“Sekiranya anda atau ahli keluarga anda perlu diambil saringan, jangan risau kerana proses tersebut tidak sakit, dan tidak berbahaya,” katanya.
Media melaporkan hari ini terdapat pertambahan kenderaan di laluan Gua Musang menghala ke Kelantan dan juga di laluan utama keluar pusat bandar.
Difahamkan ramai warga Lembah Klang mengambil keputusan pulang ke kampung selepas kerajaan melaksanaan PKPB bermula tengah malam ini sehingga 27 Oktober. – Malaysiapost
