Perbezaan, perselisihan pendapat tidak membawa perpecahan dalam Umno

0
3

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui pada peringkat awal terdapat sedikit kekecewaan apabila beberapa rakan dari Umno tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun ia adalah lumrah.

Jelas Perdana Menteri dalam parti yang besar seperti Umno, perbezaan dan perselisihan pendapat adalah diraikan, namun ia tidak membawa kepada sebarang perpecahan.

“Terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa misalnya, walaupun nampak pada peringkat awal ramai gembar-gemburkan yang dia akan bertanding dengan Perikatan Nasional (PN) dengan lambang PAS dan sebagainya, akhirnya Tan Sri Annuar buat `come back’ kepada kita.

“Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga dianggap sebagai seorang yang tidak berpuas hati, tetapi akhirnya beliau bekerja keras untuk memastikan calon Parlimen Pasir Salak dapat kemenangan,” katanya dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri, malam ini.

Ismail Sabri berkata isu berkaitan individu tidak tercalon bukan membabitkan BN sahaja, malah parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) juga berdepan dengan isu yang sama setiap kali menjelang PRU.

“Perkara itu berlaku dan lumrah PRU. Ia bukan sahaja dalam Umno dan kalau kita lihat dalam DAP juga timbul isu yang menyebabkan bantahan dalam kalangan mereka.

“Sebagai contoh di Parlimen Bentong, bekas MP (Ahli Parlimen) Wong Tack digugurkan dan digantikan calon lain yang menyebabkan beliau bertanding atas tiket Bebas kerana tidak berpuas hati dengan DAP.

“Begitu juga dengan PKR, contohnya Tian Chua yang tidak berpuas hati dengan keputusan di Parlimen Batu dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai kubu kuat pembangkang, Ismail Sabri berkata, BN yakin untuk menewaskan sesiapa sahaja dan nama besar bukan penghalang parti bekerja kuat meraih kemenangan.

“Kalau kita lihat di Parlimen Sungai Buloh, kekalahan BN waktu itu adalah lebih daripada 20,000 (majoriti). Waktu itu, calon bukan daripada Umno sedangkan kawasan itu adalah kawasan majoriti Melayu.

“Ini suatu cabaran kepada orang Melayu yang meminta kerusi itu diberikan kepada Umno. Apabila kita berikan kepada Umno, maka tidak ada alasan bagi mereka merampas kerusi itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here