Ilham Centre nafi keluarkan data kedudukan terkini parti bertanding

0
2

ILHAM Centre menafikan mengeluarkan dapatan berkaitan bilangan pecahan kerusi-kerusi yang bakal dimenangi parti-parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar, berkata pihaknya belum mengeluarkan sebarang laporan akhir berkaitan cerapan lapangan pada waktu ini.

“Segala sebaran daripada Ilham Centre hanya akan dimaklumkan secara rasmi melalui laman rasmi kami dan dipanjangkan kepada media pada 18 November 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu infografik bertajuk Electoral Barometer Forecast tersebar di grup WhatsApp yang menyenaraikan kira-kira 18 badan penyelidikan termasuk Ilham Centre, O2 Research Malaysia (O2) dan Merdeka Center menunjukkan indikator semasa kedudukan parti-parti bertanding.

Infografik yang tular itu memaparkan kedudukan kerusi setakat jam 6 pagi, Barisan Nasional (BN) memiliki sekitar 32 hingga 42 kerusi, Perikatan Nasional (PN), 35 hingga 60 kerusi dan Pakatan Harapan (PH), 84 hingga 108 kerusi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here