PRU-15: Proses pengundian awal lancar, sistematik – KPN

0
2

KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara hari ini sebagai paling sistematik.

Beliau yang selesai mengundi di Bukit Aman jam 10.20 pagi, berkata berdasarkan laporan daripada 970 saluran membabitkan 578 tempat pengundian seluruh negara yang diterimanya, beliau mendapati proses mengundi dalam keadaan teratur.

“Daripada apa yang saya terima maklum balas daripada pihak pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka menyatakan bahawa proses undi awal pada tahun ini adalah antara proses yang paling sistematik dan berjalan dengan lancar.

“Justeru, kita harap ia dapat membantu untuk menyelesaikan proses undi awal mengikut tempoh yang telah ditetapkan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas selesai mengundi, hari ini.

Beliau berkata, seramai 6,423 warga Bukit Aman terbabit dalam proses pengundian awal di 15 saluran yang mula dibuka jam 8 pagi.

Sementara itu, Acryl Sani turut menyeru pegawai dan anggota polis untuk menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi.

“Selaras dengan asas demokrasi untuk kita memilih pemimpin yang akan membentuk kerajaan, saya percaya setiap pegawai dan anggota telah pun mempunyai pandangan, pengetahuan tertentu dalam membantu mereka membuat pilihan tepat.

“Ia (untuk) memastikan negara agar sentiasa kuat, stabil dan kukuh bukan sahaja keselamatan bahkan juga ketenteraman dan ekonomi, ” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here