Najib mahu dibebaskan melalui mahkamah, bukan pengampunan

0
1
najib razak

DATUK Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun menzahirkan rasa kesal terhadap pihak yang masih menggunakan namanya sebagai bahan kempen propaganda politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib dalam kenyataan memaklumkan, pihak tertentu menggunakan nama anak guamnya dalam propaganda politik tidak berasas dan membuat fitnah terhadap Najib.

“Anak guam kami, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa yang amat kecewa terhadap penggunaan namanya dalam propaganda politik tidak berasas biarpun sudah dipenjarakan, dengan dakwaan jika Barisan Nasional menang, beliau akan dibebaskan segera melalui pengampunan.

“Anak guam kami ingin menafikan sekerasnya dakwaan-dakwaan ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menjelaskan mengenainya firma itu berkata, Najib secara konsisten sejak permulaan perbicaraan pada 2018, mahu dibebaskan melalui proses kehakiman di mahkamah kerana bukan sahaja beliau mahu mendapatkan kebebasan tetapi membuktikan integriti dan legasinya.

“Datuk Seri Najib yakin peluangnya untuk dibebaskan dari penjara adalah melalui permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan sejajar dengan Peraturan 137 dan Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

“Permohonan anak guam kami bagi semakan ini secara khusus bersandarkan kepada asas bahawa proses dan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan ketika rayuannya, adalah menafikan hak perlembagaannya bagi pendengaran kehakiman yang adil.

“… di mana peguamnnya tidak diberikan peluang untuk bersedia secara mencukupi bagi proses rayuan menyebabkan peguam tidak dapat mengemukakan hujah bagi pembelaan, sekaligus meletakkan anak guam kami tanpa sebarang wakil pembelaan yang efektif di mahkamah,” menurut kenyataan itu,

Firma guaman itu berkata, semakan kehakiman itu cenderung kepada anak guam yang akan memohon perbicaraan semula di bawah proses lebih adil dan seimbang.

“Ia bagi membuktikan kedudukan anak guam kami tidak bersalah di mana beliau akan menerima peluang dan ruang untuk kesnya termasuk mengemukakan fakta serta bukti yang sebelum ini tidak diperolehi pihak pembelaan ketika perbicaraan,” katanya.

Shafee & Co dalam kenyataannya menegaskan, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan tidak pernah menggunakan sesen pun dari RM42 juta bagi dirinya dan sekali gus pernah meminta atau ditawarkan sebagaimana digambarkan dalam perbicaraan SRC.

“Malah, sebagaimana dicatatkan dalam perbicaraan, beliau telah membelanjakan RM642 juta yang diterima dari akaun bank milik Kementerian Kewangan Arab Saudi bagi kegunaan inisiatif kebajikan atau melalui parti politik dan NGO, dan ini juga bukan untuk kegunaan diri sendiri.

“Anak guam kami turut menyatakan sekali lagi, beliau tidak pernah dan tidak akan meminta semua pertuduhannya digugurkan tanpa melalui proses kehakiman yang adil dan seimbang,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi telah memutuskan harta rampasan dari dua kediaman Najib adalah merupakan hadiah yang diterimanya ketika menjadi Perdana Menteri.

“Selain itu, bagi tempoh beberapa tahun ini, termasuk semalam, 14 November 2022, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan (dengan mengambil kira kenyataan saksi pendakwaan) bahawa semua barangan yang disita oleh polis dan SPRM pada 2018 ketika serbuan yang dikenali sebagai ‘Serbuan Pavillion dan Langgak Duta’; bukan hasil dari aktiviti haram (termasuk 1MDB/SRC) tetapi adalah hadiah yang diberikan kepada anak guam kami dan keluarganya melalui tempoh beberapa dekad oleh pelbagai orang kenamaan, ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Justeru, anak guam kami menggesa semua seteru politik agar tidak lagi menggunakan namanya bagi propaganda politik dan membenarkan proses perundangan dan kehakiman yang adil serta seimbang dapat dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here