UMNO merupakan parti yang tidak stabil dan akan bergolak selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, krisis dalaman Umno yang berlaku ketika PRU15 membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu membawa kestabilan politik negara.
“Umno parti yang tidak stabil. Tak mungkin Umno boleh bawa kestabilan kepada negara kerana mereka sendiri parti tak stabil.
“Perebutan kuasa dalam Umno terserlah apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaludin saling menyokong satu sama lain, seolah-olah sedang bersedia untuk menjatuhkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Ismail Sabri kecewa kerana rakan-rakannya ramai tidak dinamakan oleh Zahid sebagai calon PRU15. Manakala Khairy kecewa kerana Zahid memberikannya kerusi yang tidak selamat.
“Kini mereka berganding memulakan perebutan kuasa dalam Umno secara terbuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Wan Saiful yang turut bertanding di Parlimen Tasik Gelugor mengjangkakan Umno akan bergolak kerana parti itu akan mengadakan pemilihan parti selepas PRU15.
Katanya, ketidakstabilan akan berlaku dan akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara.
“Dengan pengisytiharan gandingan mereka, saya jangka Umno akan bergolak hebat selepas PRU15 kerana mereka akan terpaksa mengadakan pemilihan parti dalam masa enam bulan selepas PRU15.
“Pelabur domestik dan pelabur asing akan berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia. Umno tidak akan ada masa untuk membangunkan ekonomi atau mencipta peluang pekerjaan untuk anak muda,” katanya. – Malaysiapost

