Sumbangan kepada sektor agrikomoditi, pekebun jadi sandaran Zuraida pada PRU15

0
3

DATUK Zuraida Kamaruddin yang akan mempertahan kerusi Parlimen Ampang buat penggal keempat, berharap pengundi dapat menilai sumbangannya sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu dilantik mengetuai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) pada Ogos 2021 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum itu beliau dua kali diberi kepercayaan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, masing-masing di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yasin (20 Mac 2020 hingga Ogos 2021) dan di bawah Pakatan Harapan (PH) dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad (Mei 2018 hingga Februari 2020).

Pencapaian di KPPK

“Salah satu pencapaian terbesar saya yang memberi impak kepada masa hadapan industri agrikomoditi Malaysia adalah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang dilancar pada Mac 2022.

“Dasar ini dirangka untuk terus memacu pembangunan sektor agrikomoditi negara dalam bentuk yang mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran,” kongsi Zuraida.

Menurutnya, dasar itu dilaksanakan selaras norma baharu dan peningkatan penggunaan teknologi digital era pasca Covid-19.

Jelas Zuraida, enam produk agrikomoditi yang akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan DAKN 2030 adalah minyak sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.

Pencapaian lain Zuraida sepanjang mengetuai KPPK apabila produk agrikomoditi melalui tahun-tahun menggalakkan dengan lonjakan peningkatan keseluruhan 64 peratus sepanjang dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020-2021 berbanding tempoh prapandemik 2018-2019.

“Bukti kepada kejayaan ini adalah, walaupun negara berhadapan impak ekonomi yang buruk akibat pandemik, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia meningkat mendadak dalam tempoh empat tahun daripada RM127.9 bilion pada 2018 dan RM128.5 bilion pada 2019 kepada RM151.3 bilion pada 2020 dan RM209.6 bilion pada 2021,” katanya.

Selain mengetuai delegasi misi dagangan untuk mempromosi produk agrikomoditi Malaysia dan menggerakkan usaha mempermudahkan pengambilan pekerja asing bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh industri sawit negara, Zuraida juga memainkan peranan penting membawa minyak sawit Malaysia menembusi pasaran baharu antarabangsa.

“Ini menunjukkan komoditi berkenaan telah mendapat penerimaan lebih luas di peringkat global, disokong usaha bersungguh-sungguh KPPK yang melancarkan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit,” jelas beliau.

Sekurang-kurangnya tiga negara yang tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia, iaitu Estonia, Republik Czech dan Hungary telah mula membeli komoditi berkenaan sejak beberapa bulan kebelakangan.

Zuraida akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang yang disandangnya sejak tahun 2008 dalam pertembungan sembilan penjuru, jumlah calon bertanding di satu-satu kawasan paling tinggi selepas kerusi Parlimen Batu dengan 10 calon.

Menariknya, Zuraida yang juga pejuang kuat gerakan pemerkasaan wanita akan bersaing dengan empat calon wanita lain, iaitu Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen mewakili BN: Rodziah Ismail (PH); Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).

Empat calon lain adalah Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng dan M Raveendran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here