Hadi bimbang DAP perguna calon Melayu berdepan PRU

0
2

TAN Sri Abdul Hadi Awang menzahirkan kebimbangan terhadap calon-calon Melayu yang didakwa dipergunakan DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Presiden PAS itu, jika menelusuri sejarah, DAP yang mula ditubuhkan pada tahun 1966 hakikatnya berasal daripada Parti Tindakan Rakyat (PETIR / PAP) di Singapura.

Beliau mendakwa, strategi PAP bagi menawan Singapura ketika zaman kemerdekaan dahulu adalah menonjolkan orang Melayu seperti Yusof Ishak sebagai Presiden Singapura dan Othman Wok sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial bagi menarik sokongan orang Melayu.

Malah katanya, Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura sendiri boleh membaca Jawi dan mengenakan songkok, sehingga membuatkan masyarakat Melayu Singapura tertarik dan akhirnya mengundi PAP.

“Tunku Abdul Rahman melihat perkara ini sebagai ancaman, termasuk apabila PAP mula membuka cawangannya di Semenanjung Malaysia. Lalu Tunku mengambil keputusan besar mengeluarkan Singapura dari Malaysia.

“Selepas itu, PAP yang berada di Malaysia ditukar nama kepada DAP. Maka DAP dalam Pakatan Harapan (PH) menggunakan taktik sama apabila mempergunakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sepertimana PAP pernah mempergunakan Yusof Ishak sebagai Presiden Singapura.

“Justeru, saya sangat berharap orang Melayu sedar dan faham akan perkara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) berkata kebanyakan orang Cina tetap akan mengundi DAP walaupun calonnya bukan berbangsa Cina.

Ini kerana katanya, orang Cina menyokong parti atau ideologi, sementara orang Melayu pula ramai yang mengundi mengikut calon atau individu, bukannya parti atau ideologi.

“Inilah perkara yang harus kita perbetulkan,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here