Tok Mat ada datang rumah saya minta tolong, dakwa Hamzah

0
2
Datuk Seri Hamzah Zainudin

SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan ada berkunjung ke rumahnya pada April 2019 untuk meminta tolong.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun enggan mengulas butiran yang dibincangkan, sebaliknya mahu Timbalan Presiden Umno itu menjawab sendiri.

“Kalau dia kata Perikatan Nasional (PN) berlagak bersih, saya nak media tanyakan pada Tok Mat, ada tak pada April 2019 Tok Mat datang ke rumah saya minta tolong?.

“Itu sahaja soalannya supaya dia boleh jawab,” katanya mengulas kenyataan Mohamad bahawa PN adalah parti berlagak suci sedangkan pernah bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Hamzah, beliau tidak mahu membangkitkan perkara yang bukan-bukan membabitkan Tok Mat, justeru mahu kenyataan jelik terhadap Bersatu dihentikan.

“Janganlah bangkitkan isu-isu yang seolah-olah memberi persepsi umum bahawa PN ini sama macam BN,” katanya.

Tegasnya, PN meletakkan calon yang bersih dalam PRU15 manakala BN pula ada meletakkan calon bermasalah.

“Sepatutnya orang yang bermasalah itu tidak menjadi calonlah, itu perbandingan antara BN dan PN,”katanya.

Hamzah berkata, tindakan Tok Mat mengkritik PN seolah-olah BN mula takut terhadap gabungan itu sehingga terpaksa membuat cerita yang bukan-bukan.

“Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri yang bercakap dalam program bersama MIC, Tok Mat akan masuk dalam, bukan kita (PN) yang cakap.

“Kalau betul Tok Mat akan masuk dalam, apa kesnya? Jadi kita cuma nak peringatkanlah dia,”katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here