ANGGOTA Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta mengekalkan tahap profesionalisme tinggi, mengawal emosi dan berhemah ketika berdepan provokasi sepanjang bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani meminta semua anggota mengelakkan diri terbabit dalam situasi yang boleh mengakibatkan ketegangan, sekali gus mewujudkan implikasi yang mampu mencalarkan kredibiliti pasukan.
“Sebagai agensi penguatkuasaan utama negara, PDRM akan terus kekal komited dalam mempertahankan keselamatan negara dan ketenteraman awam selari kehendak Akta Polis 1967.
“Pasakkanlah nawaitu dan tanamkanlah tekad yang kuat untuk menjalankan amanah ini dengan penuh integriti, ikhlas dan sabar,” katanya.
Acryl Sani berkata demikian dalam Ucapan Khas Ketua Polis Negara Untuk Semua Petugas PDRM sempena PRU15 di laman rasmi Facebook PDRM.
Beliau turut mendoakan agar semua petugas PDRM, sentiasa dilindungi Allah serta dijauhkan daripada sebarang malapetaka.
“Saya rasa bangga kepada semua warga polis terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran proses PRU15.
“Kepada yang bertugas di lapangan untuk memastikan kelancaran proses PRU15, saya percaya dan yakin, kalian akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan sebaik mungkin,” katanya.
Acryl Sani berkata, dengan komitmen penuh setiap anggota beliau yakin keseluruhan proses PRU15 akan berlangsung dalam situasi yang selamat dan tenteram.
“Saya berharap semua warga PDRM telah pun melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan (termasuk latihan-latihan yang telah dilaksanakan lebih awal), mengenai penugasan kelak.
“Ini merupakan peluang untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dan seterusnya belajar daripada pengalaman,” katanya. – Malaysiapost

