SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan menerusi gabungan dengan parti lain terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau juga menjangkakan BN akan menerima gabungan tersebut namun menegaskan PN tidak akan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan Persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima PH walaupun perlu gabungan.
“Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU15, mungkin selepas PRU15 kita boleh wujudkan hubungan itu.
“Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini namun saya yakin BN akan terima.
“Perbincangan dulu sudah ada, namun semasa kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU15,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ceramah perdana PRU15 di Kampung Kubang Kiat, di Kota Bharu lewat malam tadi.
Terdahulu dalam ucapannya, Takiyuddin yang juga calon PAS Parlimen Kota Bharu berkata PRU15 adalah PRU paling getir buat rakyat.
Katanya, berdasarkan kajian penganalisis politik, tiada mana-mana parti yang akan mendapat 112 kerusi untuk membentuk kerajaan sebaliknya perlu bergabung dengan mana-mana parti lain. – Malaysiapost

