Ismail Sabri tidak tahu Anifah dijanjikan jawatan menteri

0
2

PERDANA Menteri mengesahkan beliau tidak tahu-menahu mengenai sebarang perjanjian membabitkan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk jawatan dalam kabinet sekiranya Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketika ini timbul pelbagai cerita yang ‘bukan-bukan’ menjelang hari pengundian pada 19 November ini.

“Kadang-kadang setengah orang main sebut nama sahaja, tetapi tidak ada pun tawaran tersebut tapi kerana tidak ada sesiapa yang ada (pada) waktu itu, mungkin jadi dia main sebut.

“Sekarang ini macam-macam cerita yang bukan-bukan timbul,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berkenaan Anifah dijanjikan jawatan dalam Kabinet oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekiranya BN menang pada PRU-15.

Ismail Sabri berkata, perkara itu tidak boleh dianggap benar, kerana dirinya sendiri tidak tahu berkenaan dakwaan tersebut.

“Jadi tidak perlu kita ambil itu sebagai satu cerita yang dianggap benar. Saya pun tidak tahu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) dalam majlis ceramah Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu, membuat pendedahan mengenai tawaran itu sebagai balasan tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon Umno.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here