CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz tidak memilih kasih apabila memberi sumbangan kepada semua penduduk Parlimen itu tanpa mengira parti.
Katanya, sejak dua penggal menjadi Ahli Parlimen itu, beliau memberi sumbangan kepada rakyat secara berterusan lebih daripada 10 tahun.
“Saya bersyukur kerana sumbangan yang saya berikan kepada penduduk Tanah Merah ini bukan nak dekat pilihan raya baru kita bagi, tetapi kita dah bagi sejak sekian lama.
“Lebih daripada 10 tahun kita agih sumbangan demi sumbangan. Bila kita bagi sumbangan semua orang tahu.
“Saya tidak ada pilih kasih dan kita bagi kepada semua tanpa mengira latar belakang, parti politik. Jadi semua pihak tidak kira sama ada daripada kecil, pertengahan, muda, tua, lelaki dan perempuan, pelajar atau kerja di kampung semua menerima sumbangan demi sumbangan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Bersatu Tanah Merah.
Beliau berkata, sumbangan diagihkan secara menyeluruh dan tidak ada rumah dalam Parlimen Tanah Merah yang tidak terima atau tidak disantuni oleh pihaknya.
“Sebab itu, saya rasa pilihan raya kali ini lebih nampak positif daripada pihak saya. Bukan sahaja sumbangan, mereka nampak kejayaan yang saya bawa dari segi pembangunan yang dicapai yang mereka boleh saksikan sendiri di depan mata mereka.
“Antaranya, jambatan bertingkat, hospital, kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan sebuah sekolah berasrama penuh integrasi yang dalam pembinaan.
“Mereka boleh nampak sendiri dua penggal saya di sini. Misalnya, di kampung mereka dulu gelap gelita, sekarang disinari lampu jalan dan mereka nampak jalan yang sudah diturap,” katanya.
Katanya, kesemua itu bukan janji-janji, tetapi apa yang beliau cakapkan dulu sudah dilaksanakan dan tertunai.
“Justeru, saya berharap pengundi Tanah Merah dapat melihat saya yang membuktikan menjadi wakil rakyat yang sebaik mungkin di sini.
“Oleh itu, saya berharap mereka dapat memberi saya peluang untuk meneruskan ke penggal ketiga. Insya-Allah saya akan buat yang lebih baik lagi daripada pengal sebelum ini,” katanya. -Malaysiapost

