PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dapatan tinjauan (survei) yang digembar gemburkan oleh beberapa parti politik yang menentang BN ketika ini lebih kepada perang psikologi atau propaganda untuk menggugah keyakinan pengundi menjelang PRU-15 Sabtu ini.
Beliau berkata, survei yang dilakukan hanyalah strategi untuk menampakkan bahawa parti lawan tampak gah dan sedang mendapat tempat dihati pengundi.
Katanya,dapatan survei seumpama ini tidak boleh dipercayai bulat-bulat oleh rakyat.
“Hal ini kerana terdapat pengelola survei yang rapat dengan sesebuah parti politik tertentu, terdapat juga survei walaupun luaran tidak rapat dengan parti tertentu, namun ada mesra dengan pemimpin atau wakil pemimpin tertentu.
“Yang jelas penemuan survei tersebut hampir dekat dengan cita rasa pemimpin tertentu atau sesebuah parti tersebut.
“Terdapat sampel tidak sampai 1500 pengundi. Namun penemuan tersebut seolah-olah menggambarkan seluruh situasi, sikap dan pendirian 21 juta pengundi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, strategi ini dilakukan oleh musuh BN pada kerana berasa amat terdesak dan malu berdepan kekalahan tidak lama lagi.
“Soalan yang ditanya melalui panggilan telefon adalah secara rambang. Sudah pasti pengundi yang dihubungi tidak akan memberikan jawapan sebenar terutamanya dalam soalan kecenderungan pengundi,” katanya.
Dakwa Zahid, misalnya Perikatan Nasional (PN) cuba bermain perang psikologi di media sosial seolah-olah mampu memenangi banyak kerusi.
“Perang psikologi melalui tik tok digunakan untuk mereka menyampaikan dakyah palsu populariti mereka.
“Sedangkan untuk PN menang 25 kerusi seluruh negara adalah suatu yang mustahil berlaku kerana jumlah ahli mereka yang sangat sedikit selain ramai yang mula tidak yakin dengan perjuangan PN berikutan ramai dikalangan mereka keluar parti secara beramai-ramai.
“Bersatu pada masa ini lebih menyerlah dengan sumber dana yang besar dan berbelanja besar walaupun parti mereka masih terlalu baru,” katanya. -Malaysiapost

