Selepas mohon maaf, Ketua Pemuda PAS Sik mohon berehat daripada jawatan

0
3

KETUA Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir memohon untuk berehat daripada jawatan itu selepas kenyataannya menghukum pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka, mendapat perhatian ramai pihak.

Permohonan itu dibuat menerusi satu surat ditujukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Sik bertarikh 11 November lalu.

Kandungan surat tersebut menyatakan Mohd Shahiful akan berehat daripada semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Mohd Shahiful berkata, permohonan yang dibuat itu adalah secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan di dalam video itu adalah ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya Perikatan Nasional (PN) amnya.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada di dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu,” katanya.

Sementara itu, media tempatan melaporkanTimbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengesahkan mengenai permohonan Mohd Shahiful berkenaan.

Sebelum ini, video Mohd Shahiful dalam sebuah ceramah mendapat perhatian selepas mendakwa individu yang tidak mengundi Perikatan Nasional (PN), akan masuk api neraka.

“Ingat pesan saya kepada semua pengundi di Sik yang nak mengundi ni, balik pangkah Perikatan Nasional (PN). Siapa yang pangkah BN (Barisan Nasional) dan PH Pakatan Harapan (PH), masuk api neraka,” katanya.

Susulan daripada video tular itu, Mohd Shahiful tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik kembali kenyataan tersebut.

Katanya, beliau menyedari kekhilafannya dan meminta orang ramai untuk menghentikan segala bentuk penyebaran video berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here