PM perjelas sebab PKPB di Selangor

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah diberi penjelasan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu bermula tengah malam ini.

Perdana Menteri berkata, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjelaskan mengenainya kepada Amirudin yang kemudian bersetuju dengan pelaksanaan PKPB tersebut.

Katanya, PKPB terpaksa dikuatkuasakan di seluruh negeri itu memandangkan terdapat banyak kes positif Covid-19 yang berselerak yang memerlukan kerajaan mengambil tindakan proaktif.

“Dalam kes Selangor, kita membuat PKPB bersasar seperti Mukim Klang dan Petaling tetapi berlakunpeningkatan kes di daerah lain seperti Gombak dan Hulu Langat walaupun ia zon kuning.

“Jadi Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu isytihar seluruh negeri untuk memastikan tindakan proaktif untuk tangani pendemik dari terus menular.

“Untuk itu kita perlu hadkan pergerakan orang ramai seperti sekolah yang melibatkan lebih sejuta murid dan pelajar,” katanya dalam sidang media hari ini.

Muhyiddin berkata, di sebalik PKPB di Selangor serta Putrajaya dan Kuala Lumpur, aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa, misalnya pasar malam dan pasar minggu beroperasi seperti biasa.

Semalam, Amirudin berkata kerajaan Selangor akan menghantar cadangan balas kepada MKN dengan segera agar pelaksanaan PKPB di seluruh negeri itu dapat diberi pertimbangan semula.

Menteri Besar berkata pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya agak mengejutkan.

Ini kerana, katanya, mesyuarat MKN Negeri Selangor bersama agensi lain yang dipengerusikan beliau hari ini menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling mempunyai bilangan kes membimbangkan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Reuters