Undi parti yang benar-benar utamakan pemerkasaan wanita, kata Haniza

0
2

PEMERKASAAN wanita adalah tunjang utama Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata calon PBM bagi Parlimen Hulu Selangor, Haniza Mohamed Talha.

Menurutnya, komposisi Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat sebelum ini hanya sekitar 15 peratus daripada jumlah 222 ahli.

Ini katanya, masih jauh daripada sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Parlimen wanita ditetapkan ramai pihak sebelum ini.

“Sehubungan itu, beliau meminta pengundi memberi peluang kepada PBM pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

“Pemerkasaan wanita adalah antara tunjang utama PBM. Buktinya, daripada enam kerusi Parlimen yang ditandingi, empat daripadanya adalah calon wanita.

“Selain saya yang bertanding di Hulu Selangor, calon wanita lain adalah Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mempertahankan kerusi Ampang, Dr Daroyah Alwi (Kapar) dan Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din (Labuan).

“Manakala daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PBM, satu daripadanya adalah calon wanita iaitu Nazmahwati Walli di Bugaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Haniza berkata, komposisi calon wanita yang begitu besar dari sebuah parti tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

“Kita harus ingat bahawa daripada 1,386 calon yang mengambil bahagian dalam PRU15 ini, 87 peratus adalah lelaki.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, penggubal undang-undang wanita mempunyai beberapa kelebihan berbanding lelaki.

“Kajian menunjukkan lelaki cenderung menjadi lebih agresif dan eksklusif, manakala kepimpinan kaum Hawa bersifat lebih inklusif, konsultatif dan mempunyai lebih emapti,” katanya lagi.

Beliau berkata, semua pihak perlu sedar dalam dunia hari ini yang berpecah belah, kepimpinan politik yang disemai dengan naluri keibuan boleh membuat perubahan ketara dalam kehidupan rakyat.

“Kebangkitan ekstremisme yang kini kita lihat di negara Barat – dan yang telah merebak ke bahagian dunia ini, termasuk di Malaysia – adalah terutama kerana rakyat rasa disisihkan daripada proses politik.

“Apabila pengundi rasa mereka diketepikan dan diabaikan, mereka menjadi mangsa kepada unsur-unsur yang memanipulasi kemarahan, prasangka dan rasa kecewa orang ramai dengan mengorbankan kepentingan jangka panjang masyarakat.

“Sekali lagi saya merayu kepada pengundi untuk memberi peluang kepada PBM. Negara ini memerlukan lebih ramai pemimpin politik wanita dan dalam hal ini, PBM perlu diberi peluang dalam PRU kali ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here