BN letak KJ di Sungai Buloh kerana yakin kemampuannya

0
4

LANGKAH Barisan Nasional (BN) meletakkan Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen Sungai Buloh kerana yakin dengan kemampuannya, kata Timbalan Pengerusi BN.

Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan dakwaan parti mahu ‘menamatkan’ karier politik Khairy dengan meletakkan Menteri Kesihatan itu di kerusi berkenaan adalah tidak benar.

“Parti tiada niat untuk melenyapkan kepemimpinan KJ dengan cara meletakkan beliau bertanding di kerusi yang dulunya dimenangi PKR.

“Usahlah percaya cakap orang, khobar (khabar) saya nak tanam… parti nak tanam KJ lah… parti nak matikan KJ lah.

“Kalau kami nak tanam KJ, kami letakkan beliau di Bukit Bintang, tapi kita letakkan beliau di Sungai Buloh kerana itu dirasakan tempat yang terbaik, tempat yang lebih selamat daripada Tampin ataupun Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam kempen BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Kampung Paroi, hari ini.

Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau dan penyandang kerusi Rembau dipertaruh untuk bertanding di Sungai Buloh yang disandang PKR selama tiga penggal.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, Khairy juga calon layak untuk kerusi Sungai Buloh, mengambil kira pengundi di kawasan itu yang menerimanya.

“Pengundi-pengundi Sungai Buloh amat sukacita menerima beliau kerana mahukan calon Melayu. Saya yakin KJ boleh memenangi kerusi itu walaupun membabitkan persaingan banyak penjuru,” katanya.

Menurutnya, jumlah pengundi Melayu di Sungai Buloh lebih 66 peratus dan semangat pengundi di situ yang berkehendakkan calon Melayu juga amat tinggi.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here