PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi dan rakyat Malaysia kembali menyokong BN selepas PN gagal dalam mentadbir negara dalam tempoh 17 bulan lalu.
Beliau berkata BN juga memaafkan mereka dan meminta semua pihak kembali memberi peluang kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Undi PN undi kerajaan gagal jadi jangan gagal lagi sekali. Rakyat Malaysia cukuplah seriklah dengan kerajaan PN yang gagal.
“Yang mana menyesal tu BN dah lupakan dan maafkan. Balik lah semula kepada BN, insyallah sebelum ini lebih 60 tahun kita mentadbir negara dengan aman damai,” katanya pada sidang media selepas kenduri sekampung di Nipah Baroh Bagan Datuk, hari ini.
Presiden Umno itu berkata keperitan rakyat dapat dilihat selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah 22 bulan dan kemudian disambung 17 bulan oleh PN.
“Di bawah PH semua janji tak dipenuhi dan kita pun tahu. Apabila zaman Tan Sri Muhyiddin (Yassin) ia makin teruk jadi nak elak lebih teruk jadi kembalilah kepada BN semula,” katanya.-Malaysiapost

