Maszlee mohon maaf kepada ahli Umno, kaitkan insiden dihalau dengan parti itu

0
1

PENYANDANG Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik memohon maaf kepada Umno selepas mengaitkan parti itu ketika insiden beliau dihalau ketika menziarahi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Ithnin Maarof, di Simpang Renggam, hari ini.

Maszlee yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan berkata ketika kejadian beliau terkejut dan memberi reaksi kurang baik selepas diprovokasi oleh individu yang dipercayai ketua kampung kawasan itu.

“Ya walaupun ketua kampung itu orang kuat Umno dan pihak yang datang kali kedua juga orang Umno tetapi mereka tidak mencerminkan sikap semua ahli Umno.

“Bagi calon Umno Datuk Seri Ir Hasni (Mohammad) ketika bertemu dengan saya di pasar malam, penamaan calon kami bergurau mesra, kami begitu profesional.

“Begitu juga jentera Umno yang saya kenali di Simpang Renggam mereka profesional, tiada masalah. Jadi di pihak saya mohon maaf jika kata-kata saya mengguris hati penyokong Umno,” katanya menerusi video di Facebook.

Terdahulu satu video klip tular di aplikasi Tik Tok memaparkan tindakan dua individu yang bersemuka dengan bekas Menteri Pendidikan itu mendakwa calon PH itu sebagai ‘kencing’ serta pembohong.

Namun gelagat seorang daripada lelaki dipercayai pertengahan usia itu berjaya dihalang dua anggota polis yang kemudian membawanya keluar dari PPS berkenaan.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here