PEMUDA Umno menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan kerakyatan automatik kepada warga asing dengan syarat sangat longgar, seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata apa jaminan kesetiaan golongan itu kepada ibu pertiwi sekiranya kerakyatan diberikan secara automatik seperti ditawarkan PH.
“Saya terkejut membaca manifesto PH yang menawarkan kerakyatan automatik kepada warga asing dengan syarat sangat longgar. Sedangkan kerakyatan adalah anugerah tertinggi negara diberikan hanya kepada individu asing yang layak sahaja.
“Secara umumnya, BN (Barisan Nasional), PH dan PN (Perikatan Nasional) kesemuanya berjanji bagi mengkaji/menawarkan kerakyatan bagi anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara.
“Ini adalah antara isu yang sememangnya dikaji sejak dulu bagi memastikan keadilan bagi wanita tempatan yang dianiayai suami warga asing di luar negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, bagaimanapun PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sanggup menawarkan kerakyatan automatik bagi anak angkat dan warga emas yang mempunyai anak warga Malaysia.
Beliau merujuk manifesto PH dalam Buku Tawaran Harapan pada muka surat 28 dan 34, yang diumumkan baru-baru ini.
Katanya, mengikut undang-undang terkini warga asing perlu bermastautin dalam negara bagi tempoh tertentu serta mempunyai kemampuan berbahasa Melayu dengan baik sebelum boleh dipertimbangkan bagi memperoleh kewarganegaraan Malaysia..
“Begitu juga dengan memberikan kerakyatan kepada warga asing tua secara automatik akan memberi beban kepada perkhidmatan kesihatan negara. Semua ini akan menggunakan wang pembayar cukai dan menjejaskan hak warga emas kita sendiri.
“Lebih membimbangkan saya adalah apabila terdapat laporan lebih 1.22 juta pelancong dari negara China yang tidak mempunyai rekod keluar daripada negara kita antara tahun 2018 hingga 2021.
“Jumlah ini terlalu besar dan membimbangkan kita. Jika PH memerintah dan kesemua mereka ini diberikan kewarganegaraan, maka ia akan merosakkan demografi negara dan menyahstabil keseimbangan antara kaum yang telah wujud selama ini,” katanya.
Tambah beliau, tawaran itu menunjukkan PH lebih mementingkan undi daripada kedaulatan negara.
Menurutnya, rekod buruk PH dan bekas-bekas sekutunya terutama Bersatu dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rome dan Batu Putih membuktikan mereka tidak layak diberikan peluang mengemudi negara buat kali kedua. – Malaysiapost

