EMPAT sekeluarga maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dinaiki terlibat dalam nahas di simpang tiga Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira 7.45 pagi itu, warga emas, Ibrahim Daud, 71, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya, Latipah Dorahim, 66, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Alor Gajah.
Dua lagi mangsa yang terkorban ialah menantu mereka, Syazana Tharin, 30, dan cucu lelaki berusia lima tahun, Yusuf Daniel Muhammad Izwan yang turut meninggal ketika menerima rawatan di hospital sama.
Seorang lagi cucu lelaki, Aniq Fahim Muhammad Izwan dilaporkan cedera pada bahagian kepala dan sedang dirawat di zon merah hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pemandu Toyota Estima yang juga anak lelaki kepada pasangan warga emas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dipandu peniaga berusia 59 tahun dari arah Durian Tunggal yang keluar simpang berkenaan untuk ke arah Selandar.
“Kenderaan dinaiki semua mangsa yang dari arah Selandar ke Alor Gajah cuba mengelak dan membrek sejauh lima meter, tetapi melanggar juga Toyota Land Cruiser itu pada bahagian kiri hadapan.
“Akibat pelanggaran itu seorang penumpang Toyota Estima meninggal dunia di tempat kejadian. Semua penumpang lain dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan. Pemandu Toyota Land Cruiser juga dibawa ke hospital sama.
“Tiga mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika dirawat,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Ngwe Hee Sem, berkata kesemua mangsa terlibat sedang dalam perjalanan ke Langkawi, Kedah untuk meraikan sambutan hari lahir Ibrahim.
“Pagi yang amat menyedihkan. Berhati-hatilah semasa pemanduan. Kecuaian sedikit boleh mengakibatkan kehilangan orang yang tersayang.
“Kemalangan di simpang tiga Kampung Asli Machap Baru pagi tadi telah meragut empat nyawa. Dengar cerita mereka bersama keluarga dalam perjalanan ke Langkawi untuk meraikan hari jadi datuknya.
“Amat sedih arwah meninggal dunia pada hari yang sama hari jadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, salam takziah,” katanya. – Malaysiapost

