Anwar gagal kemuka bukti, hina anggota tentera

0
3
anwar ibrahim

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mengemukakan bukti menunjukkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima RM300 untuk mengundi parti tertentu ketika undian awal.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu berniat jahat sekali gus telah menghina semua anggota tentera dan keluarga mereka.

“Ini adalah antara kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab dan berniat jahat yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Anwar tidak menunjukkan apa-apa bukti untuk menyokong tuduhan jahat ini. Ia adalah tuduhan melulu, tanpa asas atau bukti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa kononnya ada anggota tentera sudah mengundi awal dan dibayar RM300.

Untuk rekod, terdapat 146,737 pengundi tentera dan pasangan mereka yang layak mengundi dalam PRU-15.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Anwar telah menghina dan menggelarkan anggota tentera sebagai perasuah yang sepatutnya tidak berlaku kerana mereka menggadai nyawa melindungi negara.

“Menerima rasuah adalah suatu jenayah; adakah Anwar berpendapat bahawa anggota tentera kita adalah kesemuanya penjenayah?.

“Wira-wira ini sepatutnya dipuji, dan bukan dihina sebagai pemakan rasuah tanpa apa-apa bukti atau keterangan.

“Adalah jelas bahawa Anwar semakin terdesak kerana jelas PH kurang mendapat sokongan daripada rakyat semasa tempoh berkempen,” kata calon kerusi Parlimen Tambun itu.

Ahmad Faizal turut mempersoalkan sama ada Presiden PKR itu bersedia untuk menarik balik dakwaan beliau.

“Apakah cerita dongeng mengenai rasuah pilihan raya ini akan dijadikan alasan bagi menuduh bahawa pilihan raya tidak adil, jika PH kalah dengan besar pada 19 November?.

“Akhirnya, adakah Anwar bersedia menarik-balik penghinaan terhadap anggota tentera negara serta keluarga mereka dan meminta maaf secara terbuka?, soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here