Pertikai calon wanita : Zuraida tuntut Muhammad Sanusi mohon maaf

0
1
zuraida

KENYATAAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempersoalkan kemampuan wanita untuk menjadi wakil rakyat adalah sesuatu yang mengejutkan.

Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, apa yang dibangkitkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu jelas bersifat seksis, sangat prejudis terhadap golongan hawa dan menghina pemimpin wanita.

“Sehubungan itu, kami menggesa Datuk Seri Muhammad Sanusi dengan segera dan dengan sepenuh hati memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya wanita serta menarik balik kenyataan menghina berkenaan

“Jika gagal berbuat demikian, Menteri Besar Kedah wajar meletak jawatan sebagai pemimpin negeri kerana pendiriannya terhadap wanita adalah satu penghinaan kepada kerajaan negeri dan dewan penggubal undang-undang yang beliau adalah sebahagian daripadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, Muhammad Sanusi juga wajar segera membuat permohonan maaf kepada seluruh negara.

Katanya, Muhammad Sanusi perlu sedar Malaysia sangat memandang tinggi peranan wanita  sehingga Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan turut dipinda pada Julai 2001 bagi menghalang diskriminasi jantina.

“Adakah beliau lupa PAS juga mempunyai beberapa penggubal undang-undang dari kalangan wanita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut meletakkan calon-calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang?,” soalnya.

Sementara itu, beliau berkata tindakan mempersendakan bagaimana rupa wakil rakyat wanita atau berapa lama masa akan diambil mereka untuk menghias diri sebelum dapat melayan rakyat menunjukkan Muhammad Sanusi seperti berada dalam era di mana wanita dilayan sebagai warganegara kelas kedua.

Tambah Zuraida, Malaysia sudah melangkah jauh ke hadapan dari era sedemikian sehingga negara pernah mempunyai wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tidakkah Datuk Seri Muhammad Sanusi sedar bahawa Ketua Hakim Negara Malaysia adalah seorang wanita? Golongan hawa juga ramai yang memegang jawatan penting, antaranya diberi kepercayaan sebagai menteri, ketua setiausaha kementerian dan naib canselor di universiti.

“Sebagai sebuah parti yang gigih memperjuang dan memperkasakan hak-hak wanita, Parti Bangsa Malaysia berasa amat tersinggung dengan kenyataan beliau,” katanya.

Beliau turut menggesa individu yang berpendirian sama seperti Muhammad Sanusi agar berhenti menghina wanita, sebaliknya melayan golongan hawa secara adil dan sama rata.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam siri ceramahnya sebelum ini dilapor mempertikai keupayaan wanita untuk menjadi Ahli Parlimen di Sik yang kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak mengecam kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here