POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka 15 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.
Pengarah Operasi PRU-15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata ia membabitkan lima kertas siasatan di Kedah, Pahang (3), Pulau Pinang (2), Sarawak (2) dan masing-masing satu di Perak, Selangor serta Johor.
“Kertas-kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 324, 379, 427 Kanun Keseksaan dan beberapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.
“Selain itu, kami turut menahan tiga individu membabitkan dua individu berkaitan kes siasatan yang dibuka pada Jumaat lalu di Negeri Sembilan, manakala seorang lagi individu ditahan di Pulau Pinang, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazani berkata, bagi kes tangkapan di Pulau Pinang, pihaknya menerima laporan daripada pengadu mengenai kejadian dipukul ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Prai Garden kira-kira jam 7 pagi semalam.
“Pengadu memaklumkan dia didatangi seorang lelaki yang memarahinya kerana membuat laporan ke atas suspek mencabut bendera DAP.
“Suspek kemudian bertindak mengambil batang besi lalu memukul kedua-dua kaki mangsa hingga berdarah dan mengambil kunci motosikal pengadu sebelum menelefon rakan-rakannya.
“Mangsa yang ketakutan terus melarikan diri. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka di kedua-dua kakinya,” katanya.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Katanya, pihak polis turut mengesan sebanyak tiga ceramah yang dijalankan tanpa permit di Melaka, semalam.
“Sebanyak 1,822 permit ceramah dikeluarkan di seluruh negara dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi dengan 303 permit diikuti Johor (269), Sabah (239) dan Perak (218),” katanya. – Malaysiapost

