MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahan kenyataan dibuatnya didakwa mempertikai keupayaan calon wanita untuk menjadi Ahli Parlimen Sik, baru-baru ini.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, kenyataannya itu dibuat dalam konteks geografi dan geopolitik di Parlimen itu yang memerlukan seorang Ahli Parlimen lelaki untuk mewakilinya.
“Ceramah saya itu dalam dialek kampung saya, ceramah itu dalam konteks Sik dengan geografi, sosioekonomi, sosiobudaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.
“Kesesuaian calon hendak diundi di Sik itu ialah lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di program Ceramah Umum Pilihan Raya ke-15 Perikatan Nasional (PN) di Padang Serai, malam tadi.
Muhammad Sanusi dalam siri ceramahnya sebelum ini dilapor mempertikai keupayaan wanita untuk menjadi Ahli Parlimen di Sik yang kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak mengecam kenyataan itu.
Parlimen Sik menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon P, Ahmad Tarmizi Sulaiman, calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Latipah Md Yatim dan Maizatulakmam Othman daripada Barisan Nasional (BN).
Ditanya mengenai desakan pihak tertentu supaya beliau meminta maaf berhubung kenyataan itu, Muhammad Sanusi berkata pihak berkenaan perlu memahami dialek Sik.
Bagaimanapun, beliau mengakui dalam sesetengah keadaan, wanita lebih ke hadapan berbanding lelaki dengan mengambil contoh bilangan wanita melanjutkan pengajian tinggi berbanding lelaki. – Malaysiapost

