MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang tergendala akan kembali kepada pengoperasian normal tidak lama lagi.
Beliau berkata, sistem isyarat dan komunikasi sistem kawalan tren automatik (ATC) dalam keadaan baik dan kesemua 38-50 tren di sepanjang laluan Kelana Jaya akan kembali beroperasi seperti biasa.
“Pagi ini saya telah diberi taklimat tentang pengujian sistem kawalan tren automatik (ATC) oleh pihak Rapid Rail yang bermula pada jam 11 malam (semalam) hingga jam 5 pagi tadi, sambil dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Matlamat utama pengujian ini adalah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh.
“Pasukan ini telah menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights – Gombak.

“Hari ini, mereka akan menguji 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak 5 minit antara setiap set tren,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ka Siong berkata, beliau akan terus memantau perkembangan LRT laluan Kelana Jaya walaupun berada di Ayer Hitam, Johor.
“Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” ujarnya.

Terdahulu, Rapid KL memaklumkan sebanyak 16 stesen LRT dari stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula Rabu hingga 15 November depan.
Antara stesen terlibat adalah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi dan Bangsar.
Stesen lain yang terjejas adalah Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park. – Malaysiapost

