PENGERUSI Gagasan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti menuduhnya tidak menepati janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu.
Tun Mahathir berkata, peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh.
Katanya, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menarik keluar ramai ahli daripada PH sehingga kehilangan majoriti dan jatuh.
“Jadi salahkan Azmin, Hamzah dan Mahiaddin (Muhyiddin) dan pengikut mereka yang terlibat dengan Langkah Sheraton yang menyebabkan Anwar tidak dapat jadi PM.
“Anwar juga bersalah kerana ia membuat Azmin dan beberapa ahli-ahli Parlimen PKR bersekongkol dengan Muhyiddin.
“Jangan asyik nak salahkan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Langkah Sheraton merujuk majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, untuk memperingati penjajaran politik baru.
Sebelas Ahli Parlimen diketuai Azmin berpaling tadah keluar PKR, mengakibatkan kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan PH.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, jika kerajaan PH tidak jatuh maka beliau boleh menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri menggantikannya.
“Contohnya di United Kingdom, negara yang sistem Westminsternya kita ikuti, apabila PM-nya letak jawatan, parti yang memerintah tentukan siapa yang harus ganti.
“Liz Truss baru-baru ini tidak bincang dengan pemimpin lain untuk letak jawatan. Dia letak jawatan apabila merasa tidak dapat sokongan. Begitu juga yang saya lakukan.
“Bezanya, Parti Konservatif masih menjadi Kerajaan walaupun Theresa May, Boris Johnson, Liz Truss letak jawatan. Sekarang Rishi Sunak jadi PM Kerajaan Konservatif,” katanya. – Malaysiapost

