‘Rafizi gagal buktikan keterlibatan saya lulus projek’ – Tuan Ibrahim 

0
3
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=414727036691265&set=pb.100044619150875.-2207520000..&type=3

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli sebaik sahaja tamat tempoh tujuh hari permohonan maaf yang diberikan kepadanya. 

Beliau berkata, Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden PKR membuat tuduhan fitnah berniat jahat yang mahu menjatuhkan reputasinya. 

“Oleh yang demikian, terbukti dengan jelas kenyataan-kenyataan Rafizi termasuk sidang media semalam adalah satu fitnah jahat bagi menghancurkan reputasi saya khususnya, dan juga parti PAS umumnya.

“Saya telah mengarahkan peguam saya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi sebaik sahaja menerima jawapan bertulis daripada peguam Rafizi atau selepas tamatnya tempoh tujuh hari yang telah diberikan. 

“Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara (caretaker) ke arah menganugerahkan projek tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, Rafizi dalam sidang media memberitahu beliau sememangnya mahu Tuan Ibrahim menyamannya dan dibicarakan di mahkamah kerana mahu isu ini didedahkan sekali gus membuktikan beliau tidak melakukan fitnah. 

Menurut Tuan Ibrahim, surat tuntutan kepada Rafizi telah dihantar menenerusi peguamnya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 10 November 2022. 

“Tuntutan yang dikemukakan antaranya ialah Rafizi memberi akujanji bertulis untuk berhenti daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan tuduhan yang beliau lakukan kepada saya, dan membuat permohonan maaf dalam jangkamasa 7 hari daripada tarikh surat tersebut. Jangkamasa 7 hari akan berakhir pada 17 November 2022.

“Namun, Rafizi telah membuat sidang media pada 11 November 2022 jam 10.30 pagi bertujuan kononnya untuk menjawab tuntutan yang saya kemukakan dan memberi bukti kukuh tentang tuduhan yang beliau lakukan terhadap saya,” jelas Tuan Ibrahim. 

Tuan Ibrahim yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) bertanding di Kubang Kerian berkata, sidang media Rafizi itu sarat dengan fitnah dan tuduhan palsu. 

“Bagaimanapun, terbukti bahawa sidang media tersebut hanya menguatkan lagi sangkaan ramai pihak bahawa Rafizi hanya membuat tuduhan palsu dan penyelewengan fakta berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi saya. 

“Rafizi membuat tuduhan bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 billion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkubumi Sdn Bhd serta “perbincangan dan proses itu sedang berjalan dan ada usaha untuk menganugerahkan projek itu dalam masa kerajaan caretaker. 

“Sidang media yang dibuat oleh Rafizi juga gagal sama sekali mendedahkan bukti keterlibatan saya dalam kelulusan projek termasuk usaha saya atau KASA untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara (caretaker),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here