PRU15: Zahid tegur calon BN, utamakan kemenangan parti bukan individu

0
3

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada calon parti itu supaya memberi fokus kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) berbanding kepentingan peribadi.

Tanpa menamakan mana-mana inidvidu Ahmad Zahid berkata, dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal memasuki minggu kedua, BN perlu mengetahui musuh sebenar.

“Janganlah kita terlalu fokus untuk memenangi diri sendiri sahaja, dengan meremeh, memperlekeh, mempersoalkan kewibawaan teman-teman sahabat dalam BN yang sedang bertanding.

“Dengan harapan mendapat simpati untuk diri sendiri daripada pengundi, tetapi merosakkan kemenangan kerusi BN yang lain,” katanya menerusi Facebook.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, yang menyatakan hasrat untuk memimpin Umno dan negara satu hari nanti.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan populis dan menguntungkan peribadi sendiri tetapi menggugat nama parti perlulah dihindari dalam keghairahan calon BN berkempen.

“Sesungguhnya tanpa logo parti tempat kita bernaung untuk menang pilihan raya siapalah kita. Maka janganlah ia dirosakkan dari dalam BN sendiri atas nama populis individu.

“Bagi calon parlimen yang berasa mampu menang selesa bantulah teman-teman di Parlimen BN lain untuk menang. Inilah semangat BN kita perlu pupuk dan semarakkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga meminta semua pihak bersabar serta komited memberi kemenangan kepada BN terlebih dahulu, sebelum beralih ke fasa pemilihan Umno.

“Sesiapa sahaja bebas untuk untuk bertanding Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan sebagainya. Asalkan mendapat sokongan akar umbi parti sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menggesa ahli dan pemimpin BN belajar daripada kekalahan teruk gabungan itu pada 2008 dan 2018.

“Sesungguhnya BN telah menempuh jalan berliku untuk memulihkan parti. Baru selepas PRU14 kita mulai kembali pulih dan bangkit semula dalam siri kemenangan PRK dan kemenangan PRN Melaka dan Johor. Ini perlu masa dan strategi yang tepat.

“Hakikatnya BN mendepani sentimen dan kemarahan rakyat sejak sebelum pilihan raya 2008 sehingga memberi kesan buruk kepada keputusan pilihan raya umum 2008. Ia bukan hanya berpunca daripada pasca PRU 2018,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, PRU 2008 menyaksikan buat pertama kalinya BN tewas di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Malah, katanya, jumlah undi Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi juga merosot teruk ketika itu.

“Pelbagai faktor dan punca termasuk kritikan terhadap pembabitan budak tingkat 4 dalam kerajaan yang merosakkan reputasi BN oleh (Tun Dr) Mahathir (Mohamad). Selebihnya ialah sejarah hingga kini ditanggung BN,” katanya.

Justeru, katanya, jadikanlah episod hitam sejarah politik BN itu sebagai sempadan dan titik baharu agar parti tidak mengulang kesilapan sama.

“Dalam tempoh kurang tujuh hari ini marilah kita memberikan fokus sebesar-besarnya kepada kemenangan BN.

“Kemenangan BN secara kolektif lebih bermakna daripada kemenangan secara individu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here