Anwar dakwa dapat sokongan lebih 120 MP, kerajaan Muhyiddin telah jatuh

0
2

Fitri Nizam

DATUK Seri Anwar Ibrahim mendakwa sudah mempersembahkan dokumen sahih mengandungi senarai lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi.

Justeru, Ketua Pembangkang menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah untuk membuat keputusan berdasarkan dokumen yang telah diserahkan.

Beliau berkata, dokumen itu terdiri daripada Akuan Bersumpah (SD) Ahli Parlimen dan pengesahan daripada ketua-ketua parti.

Beliau pada masa sama memohon semua pihak memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan budi bicara baginda untuk meneliti dokumen yang diserahkannya.

Anwar juga percaya Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti untuk mendapatkan pengesahan dan mendapat input serta pandangan sebaiknya dalam sehari dua lagi.

“Seperti diumumkan pada sidang media 23 September lalu, saya telah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dokumen sahih majoriti kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Parlimen kepada saya,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Presiden PKR itu turut menegaskan berdasarkan perkembangan semasa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Soal hari ini bukan kemenangan atau kekalahan sesiapa, tetapi untuk tegakkan sebuah negara maju dan adil serta menangani Covid-19,” katanya.

Soal sama Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan, beliau berkata ia tidak dibangkitkan beliau ketika majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga memberitahu senarai Ahli Parlimen yang menyokongnya akan dimaklumkan kemudian.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata kerajaan baharu yang bakal diterajuinya ‘masih tetap majoriti Muslim dan Bumiputera’.

“Tetapi saya ingin tegaskan bahawa jaminan tentang hak semua warganegara tetap terpelihara,” katanya. – Malaysiapost