KERTAS siasatan kes pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Sabtu lalu, diserah kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ia diserah Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Bahru Selatan (JBS), Deputi Superintendan Zamri Shariff, di Pejabat Undang-Undang Negeri Johor, jam 9 pagi tadi.
“Pertemuan pagi ini membabitkan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik JBS, pegawai penyiasat kes bersama Pengarah Pendakwaan Negeri Johor bagi memberikan taklimat dan cadangan pertuduhan bagi kes ini.
“Kertas siasatan ini akan diserah ke Jabatan Peguam Negara hari ini untuk arahan dan tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan.
Ahad lalu, polis menahan pemandu Perodua Myvi wanita yang terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, pagi Sabtu lalu.
Kejadian itu menyebabkan anggota TLDM, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian, manakala Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, cedera ringan.
Difahamkan, pemandu berusia 23 tahun itu dipercayai tidak mempunyai lesen memandu, selain cukai jalan dipercayai tamat tempoh
Dia sudah dilepaskan atas jaminan polis, sementara menunggu pendakwaan. – Malaysiapost

