Muhammad Mustakim Ramli
CHINA bersetuju membeli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia sehingga 2023, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, perkara itu direalisasikan hari ini dalam pertemuannya bersama rakan sejawat dari negara republik itu, Wang Yi.
“Saya pernah sebut Ogos lalu, Wisma Putra akan manfaatkan peluang ini untuk tingkatkan eksport produk kelapa sawit negara kita ke China.
“Pertemuan empat mata saya dan Wang Yi hari ini cukup bermakna – China setuju membeli minyak sawit Malaysia dan produknya sebanyak 1.7 juta tan hingga tahun 2023.
“Saya yakin, ini bukan sahaja membawa kepentingan kepada ekonomi dan Felda, tetapi lebih utama ia bakal memberi manfaat kepada peneroka di seluruh negara. Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook.
Hishammuddin berkata, Wang Yi antara rakan sejawat terawal menghubunginya pada hari pertama beliau di Wisma Putra, Mac lalu.
“China juga antara penyumbang bantuan Covid-19 terbesar kepada Malaysia setakat ini.
“Ini buktinya hubungan Malaysia-China semakin baik dalam tujuh bulan ini,” katanya. – Malaysiapost

