Selangor gesa kerajaan kaji semula kemampuan syarikat pengendali LRT

0
2

KEMENTERIAN Pengangkutan digesa menilai semula kemampuan syarikat pengendali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) susulan gangguan sistem yang disifatkan terburuk kali ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han, berkata kejadian itu menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam akan terjejas.

“Pada Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memberi komitmen menyelesaikan masalah kekerapan tren LRT, namun ia masih belum pulih kepada asal.

“Dengan perkembangan ini, kerajaan negeri (Selangor) khuatir sekiranya isu gangguan operasi tren LRT akan berulang lagi.

“Sehubungan itu, wajar Kementerian Pengangkutan membuat penilaian penuh mengenai situasi ini serta kemampuan syarikat operator dalam mengendalikan operasi rel demi keselamatan dan keselesaan penguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Rapid KL memaklumkan penggantungan operasi bermula hari ini membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Rapid KL memaklumkan gangguan berkenaan berkaitan dengan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren.

Menurut Sze Han, kerajaan seharusnya mempunyai perancangan yang rapi dan tersusun dalam memastikan penggantian atau penyelenggaraan alatan kritikal seperti sistem ATC dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Kami mahu pengoperasian di 16 stesen tersebut dapat pulih seperti biasa selewat-lewatnya Ahad ini supaya tidak menjejaskan pengguna pada minggu depan,” katanya. –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here