Isu jalan raya di Hulu Selangor diselesai segera jika PH menang, janji Dr Sathia

0
1

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berjanji menyelesaikan isu jalan raya di kawasan itu sekiranya PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, banyak masalah di Parlimen itu diberi tumpuan termasuk isu kesesakan jalan raya yang berterusan membelenggu penduduk.

Beliau berkata, isu kesesakan Jalan Perindustrian Rawang yang dihadapi penduduk selama 30 tahun selesai selepas kerajaan PH mengambil alih kerajaan sebelum ini.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke- 11 (RMK11) kerajaan PH memperuntukkan bajet sebanyak RM227 juta untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di Rawang.

“Ini membuktikan PH lebih efisien dalam menyelesaikan isu rakyat. Bayangkan kalau kita boleh selesaikan isu 30 tahun dalam masa 22 bulan, apa yang kita boleh mampu lakukan sekiranya diberi mandat sepenggal?,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Cabang PKR Hulu Selangor itu berkata, masalah utama di Serendah yang perlu diselesaikan adalah mengenai jalan raya.

Beliau memaklumkan sebelum ini anak saudaranya baru sahaja kehilangan kaki kerana kemalangan di Serendah.

“Mungkin warga Hulu Selangor fikir, kenapa isu ini dibangkitkan oleh PH, sedangkan kerajaan negeri di bawah PH dan penyandang kerusi ini adalah PH.

“Tetapi kita perlu fahami, kebanyakan jalan raya utama di Hulu Selangor adalah di bawah kuasa kerajaan Pusat. Jadi, hanya orang yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai isu jalan raya ini mengecam kerajaan negeri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here