Aidil putus masa depan selepas jumpa KFA

0
4

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak akan memutuskan masa depannya selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berhubung rancangan mereka untuk musim depan.

Katanya, sebahagian besar perasaannya ketika ini mahu kekal namun segala keputusan adalah selepas pertemuan bersama KFA nanti.

“Perasaan saya antara 80 dan 90 peratus dengan Kedah (musim depan) kerana saya suka segala-galanya di sini, tetapi saya akan membuat keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan.

“Ini kerana saya mahu tahu visi mereka untuk pasukan ini pada masa depan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Terdahulu, Kedah menempah tiket ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 selepas meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Perak dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Perak di Ipoh.

Kemenangan itu membolehkan Kedah muncul naib juara di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dinobatkan juara CIMB Liga Super minggu lalu. Kedah mengumpul 22 mata manakala JDT memperoleh 29 mata daripada 11 perlawanan.

Aidil juga memuji usaha anak buahnya yang mempamerkan aksi hebat sepanjang perlawanan.

“Secara peribadi, saya gembira kerana sebelum ini, saya membantu Kedah layak ke pusingan playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan tahun ini, pasukan kami layak ke Piala Asia AFC musim depan,” katanya. -Malaysiapost