WILAYAH Persekutuan Putrajaya mungkin mempunyai pasukan bole sepak sendiri yang akan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M).
Perkara itu dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang bukan nama asing dalam kepemimpinan bola sepak negara.
“Mungkin WP Putrajaya turut mempunyai pasukan bolasepaknya sendiri musim depan dan bersaing di Liga M,” katanya menerusi ciapan ringkas di Twitter semalam.
Bagaimanapun ciapan itu menerima reaksi negatif pengguna Twitter dengan alasan tidak sensitif terhadap situasi semasa, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai esok.
Rata-rata pengguna Twitter mengingatkan Anwar supaya memberi keutamaan terhadap isu lebih besar iaitu membantu rakyat yang memerlukan ketika PKPB serta usaha mengekang penularan Covid-19.
Annuar pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bermula pada 2009 hingga November 2016 dan dianggap sebagai pencetus kebangkitan skuad The Red Warriors.
Di bawah pimpinannya, Kelantan menjulang Liga Super pada 2011 dan 2012 selain dua kali bergelar juara Piala Malaysia pada 2010 dan 2012 serta Piala FA pada 2012 dan 2013.
Ahli Parlimen Ketereh itu juga pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – Malaysiapost

