Bubblebee tamatkan kerjasama 4 cawangan

0
3

SYARIKAT Bubblebe Sdn Bhd akan menamatkan usahasama dengan empat cawangannya di Ampang, Senawang, Sentul dan Sungai Buloh.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee Sdn Bhd, Datuk Ismail Abdul Rahman menerusi kenyataan hari ini berkata, ia berikutan kebelakangan ini tular mengenai rakan usahawan yang disiasat pihak berkuasa mengenai kegiatan yang telah menjejaskan reputasi Bubblebee.

“Hal ini menyebabkan seorang ahli lembaga pengarah kami telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Walaupun kami tidak pasti tentang kesalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi jelas ia mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.

“Penamatan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Menurut Ismail, keempat-empat cawangan itu juga akan ditutup sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

“Pembukaan semula empat cawangan ini akan diumumkan di platfom komunikasi rasmi kami selepas proses ambil alih selesai.

“Sebagai sebuah syarikat, kami komited untuk terus membangunkan jenama minuman ini diperingkat tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.

Turut tersenarai dalam kenyataan tersebut nama selebriti Shuib Sepahtu dan Siti Sarah sebagai usahawan yang menggerakkan jenama minuman Bubblebee yang ditubuhkan pada hujung tahun 2019.

Baru-baru ini, pelawak dan ahli perniagaan, Shuib telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkait an kes penggubahan wang haram.

Kehadiran Shuib yang juga penyampai radio bersama isterinya, Siti Sarah mendapat liputan media tempatan, malah tular gambar kenderaan yang didakwa miliknya turut disita. – Malaysiapost