PKPB: Ibu bapa dibenar bawa pulang pelajar di asrama – KPM

0
3

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar di asrama pulang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain Sabah.

KPM menerusi kenyataan malam ini berkata, murid atau pelajar yang menunggu diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

Katanya, keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan masing-masing.

“Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama semasa tempoh PKPB, perlu memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya pentadbir akan mengeluarkan surat kepada mereka.

“Ini sebagai rujukan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama,” katanya.

KPM berkata, bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh PKPB, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk hadir peperiksaan.

Pada mada sama, KPM menegaskan pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian.

“Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah memastikan guru atau pensyarah serta murid atau pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM,” katanya.

Sementara itu, KPM memaklumkan selaras pelaksanaan PKPB, semua institusi pendidikan berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sabah ditutup mulai 13 hingga 26 Oktober.

Ia melibatkan 1,336 institusi dengan 511,349 murid dan pelajar termasuk institusi yang telah ditutup di daerah dikenakan PKPB sebelum ini.

Bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM ditutup mulai 14 hingga 27 Oktober.

“Penutupan ini melibatkan 1,088 institusi pendidikan dan 935,984 murid dan pelajar di Selangor lermasuk sekolah di Klang dan Petaling yang telah ditutup lebih awal.

“Selain itu. penutupan melibatkan 344 institusi pendidikan serta 254,639 murid dan pelajar di Kuala Lumpur, serta 29 institusi pendidikan dengan 31,917 murid dan pelajar di Putrajaya,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB akan dikenakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula lusa hingga 27 Oktober.

Ia selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan yang berlaku, seperti di Klang, Petaling dan peningkatan kes di Gombak dan dearah-daerah lain.

PKPB di seluruh Sabah pula berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 26 Oktober. – Malaysiapost